[CREDIT: https://www.hmetro.com.my/rap/2019/02/425685/misha-terima-permohonan-maaf-terbuka-metrotv ]
PENYANYI Misha Omar meluahkan rasa lega apabila isu fitnah membabitkan sihir untuk meraih kemenangan dalam Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) selesai apabila dua individu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Bagaimanapun, Misha menjelaskan akan mengambil tindakan selanjutnya kepada seorang lagi pemilik akaun Twitter yang masih menyembunyikan diri.
“Alhamdulillah. Tiada sekelumit dendam malah saya berasa lega dan bersyukur apabila dua anak muda ini tampil membuat permohonan maaf hari ini.
“Bagaimanapun ada seorang pengguna media sosial belum menyatakan permohonan maaf sedangkan fitnah ilmu khurafat itu dicetuskannya di akaun Twitter miliknya. Cuma pemilik akaun terbabit sudah memadamkan akaun berkenaan.
“Saya mungkin akan membuat laporan polis berasingan supaya individu itu belajar dan bertanggungjawab dengan kesilapan yang dilakukan,” katanya pada sesi permohonan terbuka di Kuala Lumpur, hari ini.
Sidang media itu disertai dua individu terbabit yang membuat permohonan maaf iaitu Fairuz Azwan Akhir Sepian, 32, dan Ahmad Azhar Aziz, 27, selain peguamnya daripada firma Amelda Fuad Abi & Aidil, Abi Mursyidin Awal serta Ahmad Fuad Hasim.
Terdahulu, Jumaat lalu Misha mengadakan sidang media memberi peringatan kepada beberapa individu yang menuduhnya menggunakan sihir untuk bersemuka dengannya dalam tempoh tujuh hari atau berdepan tindakan susulan.
Kata penyanyi Sampai Bila itu, penyebaran status di laman Twitter yang mengaitkannya dengan perbuatan khurafat mencalarkan reputasi dirinya dan kerja keras sepanjang 17 tahun dalam bidang seni suara.
Komen keterlaluan itu sengaja dicetuskan pihak tertentu susulan kejayaannya pada malam kemuncak AJL 33 yang berlangsung 3 Februari lalu.
Sebelum itu Misha membuat dua laporan polis, masing-masing di Balai Polis Kota Damansara dan Balai Polis Salak Selatan.
Sementara itu, Fairuz berkata, pada awalnya dia hanya bergurau dengan Azhar bukan bertujuan memfitnah penyanyi itu.
“Saya tiada niat jahat dan meminta maaf di atas kesilapan yang dilakukan hingga mengakibatkan kesan terhadap diri, keluarga dan kerjayanya,” katanya.
Azhar pula mengakui dirinya terlalu emosi dengan komen di Facebook hingga mengeluarkan kata-kata tidak baik terhadap penyanyi itu.
“Saya memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perkara itu. Apa yang berlaku adalah satu pengajaran kepada diri saya dan juga peminat di luar sana,” katanya.
Dalam pada itu, Misha berharap tiada individu atau pihak lain dikaitkan dalam isu itu memandangkan kedua-dua anak muda itu melakukan perbuatan itu atas kapasiti individu.
“Mereka mengaku komen yang dimuat naik tidak mewakili mana-mana orang atau kelab peminat sebaliknya hanya membabitkan diri sendiri,” katanya.
Ditanya mengenai hubungannya dengan penyanyi Siti Sarah memandangkan seorang daripada individu itu daripada wakil kelab peminat Sarah, Misha berkata, mereka berdua langsung tiada apa-apa masalah.
“Bukan dia yang buat masalah, kami tetap berkawan malah bakal menjayakan Konsert Soul Sisters pada awal April depan.
“Saya harap hubungan baik kami akan terus kekal. Mungkin isu ini akan jadi benda yang kami ketawa dan bualkan bersama,” katanya.
One Response
great